
SANDAKAN – Pentingnya usaha bersepadu antara kerajaan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan penduduk setempat dalam menangani masalah pencemaran sampah di Kampung Sim Sim yang merupakan tarikan pelancongan utama di daerah ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee
berkata, peningkatan kedatangan pelancong ke Sandakan, termasuk dari luar negara serta pembukaan sebuah hotel berhampiran dan perancangan pembinaan sebuah lagi hotel, menjadikan usaha menjaga kebersihan kawasan itu semakin penting.
“Masalah pencemaran sampah di rumah atas air perlu ditangani segera.
“Selain itu, Kg Sim Sim masih belum mempunyai sistem kumbahan yang teratur.
“Ini adalah aspek penting bagi memastikan kawasan perumahan lebih 10,000 penduduk di sini bersih dan sihat,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Penghijauan Dan Pembudayaan Lestari 2.0 di Kg Sim Sim, di sini, pada Sabtu.

Vivian berkata, satu perancangan rapi akan dimasukkan dalam bajet serta Rancangan Malaysia akan datang bagi membolehkan projek pembangunan infrastruktur di kawasan itu dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerja pembersihan Lorong H di Kg Sim Sim sedang dijalankan namun menghadapi cabaran apabila kerja-kerja mengorek sampah tidak dapat diteruskan semasa air pasang.
“Kos pengendalian jentera di atas air, terutamanya dalam keadaan air masin, adalah sangat tinggi kerana ia melibatkan perlindungan peralatan dan kemahiran operator.
“Namun kami komited untuk memastikan keselamatan tiang-tiang rumah serta kebersihan kawasan ini,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah ke laut.
“Kita tidak boleh menjadikan sebarang alasan untuk membuang sampah merata-rata.
“Gunakan tong sampah yang telah disediakan demi kebaikan bersama,” tegasnya.




