
TIGA ladang khinzir membabitkan dua di Sungai Blankan, Sepang dan satu di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat telah disita susulan terdapat haiwan itu dijangkiti wabak demam khinzir Afrika (ASF).
Exco Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata, tindakan dibuat selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menerima aduan berkenaan penyakit itu pada 22 Januari lalu.
“Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan operasi pemeriksaan terhadap 29 ladang khinzir membabitkan anggaran 25,000 haiwan itu di sekitar Sepang dan Kuala Langat bagi mengesahkan penyakit itu.
“Pada 28 Januari dan 4 Februari lalu, keputusan analisis sampel diterima dan mendapati tiga ladang khinzir yang diperiksa disahkan dijangkiti ASF.
“Didapati lebih 2,000 haiwan dijangkiti. Daripada jumlah itu, sebanyak 920 khinzir telah dilupuskan manakala bakinya dalam proses tindakan sama,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Izham menjelaskan, penyakit itu tidak menjangkiti manusia sebaliknya hanya menyerang khinzir domestik dan liar yang menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari terhadap ternakan.
“Penternak khinzir di Selangor juga diingatkan terus berwaspada, meningkatkan dan mengetatkan biosekuriti ladang khinzir masing-masing bagi mengekang penularan penyakit ASF di negeri ini.
“Saya menyeru penternak khinzir segera melaporkan kematian khinzir kepada pejabat perkhidmatan veterinar. Orang ramai juga diingatkan tidak memanipulasi berita berkenaan ASF hingga boleh menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan masyarakat,” katanya.



