
PUTRAJAYA – Tindakan segelintir pemberi maklumat membuat pendedahan umum termasuk kepada media tanpa menyalurkannya kepada pihak berkuasa terlebih dahulu dikhuatiri mengganggu proses siasatan sama ada sedang atau bakal dijalankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung ibarat memberikan hukuman kepada individu yang dituduh, selain menafikan hak mereka untuk siasatan lebih adil.
“Buat masa ini, undang-undang sudah menetapkan perkara itu, ada rasionalnya kerana semua orang (boleh) mengatakan bahawa mereka bercakap benar.
“Tetapi kemudian, anda (akan) menghukum seseorang itu sebelum kes terbabit disiasat atau sebelum mereka berpeluang untuk memberi penjelasan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa tiada perlindungan akan diberikan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan umum.
Anwar bagaimanapun berkata, kerajaan sedang meneliti perkara berkenaan.
“Kita sedang melihat perkara ini, Azalina ada draf (penambahbaikan isu pemberi maklumat),” katanya.
Azalina pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin berkata, kerajaan tidak bercadang meminda peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu, sebelum disalurkan kepada agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata, mengikut akta sedia ada seseorang boleh membuat pendedahan perlakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan pada masa sama, perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat apabila dibuat kepada mana-mana agensi penguat kuasa.
Bagaimanapun, The Malaysia Press (TMP) melaporkan bahawa Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) wajar diperluas dalam melindungi pemberi maklumat yang terpaksa mendedahkan maklumat kepada umum, khususnya selepas menggunakan saluran rasmi tetapi tiada tindakan diambil dalam tempoh munasabah.
Jelasnya, perlu ada mekanisme semakan bebas bagi menilai sama ada sesuatu pendedahan awam boleh diberikan perlindungan berdasarkan keadaan tertentu.



