
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Erciyes University, Turkiye sempena lawatan rasmi delegasi universiti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, UMS komited memperluas keterlibatan akademik dengan Turkiye, termasuk usaha memperkenalkan Bahasa Turki sebagai kursus Bahasa Ketiga di FSSK.
“UMS melihat Bahasa Turki sebagai pelaburan strategik dalam pendidikan antarabangsa kerana bahasa ini semakin relevan dalam konteks diplomasi dan hubungan antarabangsa.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pelajar dengan kemahiran bahasa asing baharu, malah menyokong pengajian hubungan antarabangsa, diplomasi dan kajian serantau, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global,” ujarnya dalam kenyataan media, di sini pada Isnin.
Tambah Kasim, pemeteraian MoU mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memanfaatkan hubungan erat Malaysia–Turkiye, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi berdaya saing di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi ‘The Brain of Borneo.’
MoU tersebut ditandatangani oleh Kasim bagi pihak UMS dan Rektor Erciyes Universiti, Profesor Dr Fatih Altun mewakili universiti berkenaan, sekali gus membuka laluan kerjasama strategik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan bersama serta mobiliti pelajar dan staf akademik, khususnya dalam disiplin sains sosial dan hubungan antarabangsa.
Tambahnya lagi, Inisiatif berkenaan diterajui oleh Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS sebagai langkah permulaan pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik bersama, termasuk seminar, syarahan ilmiah serta penerbitan bersama.
Lawatan kerja UMS ke Turkiye tersebut merangkumi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, sesi ucaptama Naib Canselor di Fakulti Ekonomi dan Sains Pentadbiran ERU, pembentangan akademik oleh pensyarah UMS, penganjuran pameran mini memperkenalkan Malaysia, Sabah dan UMS serta lawatan penandaarasan ke Hospital Fakulti Perubatan ERU serta turut mengadakan lawatan akademik ke Istanbul University.






