ROMPIN – UMNO secara umumnya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan dibuat bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz adalah selaras dengan harapan semua pihak.
“Itu adalah harapan beliau (Nazri) (untuk mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri) dan kita dalam Kerajaan Madani,” katanya ringkas ketika diminta mengulas berkaitan perkara itu.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Felcra di Tanjung Seratus, dekat sini, hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Dalam temu bual bersama portal Malaysiakini pada 23 Februari lalu, Nazri yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas memberitahu, fokus utama beliau ketika ini adalah memberi sokongan kepada Anwar dan memastikan presiden PKR itu kekal sebagai perdana menteri selepas PRU16.
Nazri berkata, sokongan terhadap Anwar dibuat kerana bimbang tiada calon lain berpotensi memegang jawatan perdana menteri, termasuk daripada UMNO.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning, memaklumkan perkara itu perlu dibincangkan bersama Pengerusi UMNO Perak yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan MB (Menteri Besar) Perak dan juga Jawatankuasa Perhubungan negeri serta kepimpinan (UMNO) Bahagian Tapah untuk mengenal pasti calon berkenaan,” ujarnya.
Ditanya sama ada UMNO akan memberi laluan kepada Pemuda untuk bertanding di situ, Ahmad Zahid menjelaskan pihaknya sedia memberi peluang kepada semua kumpulan – Wanita, Pemuda dan Puteri – dan senarai pendek calon sesuai.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk melobi wakil mereka bagi PRK Ayer Kuning.
Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, Sabtu lalu.




