
LAHAD DATU – UMNO bersedia melancarkan gelombang biru sebagai strategi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pelaksanaan gelombang biru itu akan digerakkan sebaik UMNO mendapat indikasi pada masa yang sesuai.
“Kita akan adakan insya-Allah apabila kita dapat indikasi. Sebelum pembubaran kita akan lakukan. Perkara itu di peringkat negeri bersama rakan kita yang lain,” katanya ringkas kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu, di Dewan Tun Mustapha, di sini, pada Ahad.

Menurut Zahid, realiti politik baharu tidak lagi membolehkan mana-mana parti membentuk kerajaan secara bersendirian.
Oleh itu katanya, bagi pembentukan kerajaan negeri selepas PRN Sabah, UMNO juga terbuka kepada kerjasama dengan parti sahabat atau yang pernah bekerjasama sebelum ini.
“Kita tidak boleh berseorangan walaupun kita memasuki PRN secara solo dengan lambang Barisan Nasional (BN), tapi kita tidak menolak kerjasama dengan parti lain dan itulah sebabnya kita putuskan dengan Pakatan Harapan (PH) perkara ini.
“Saranan kita adalah supaya kerjasama ini boleh dibuat sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya kerana kita mahu Sabah dijadikan negeri yang stabil politiknya, membawa kemajuan dan menyelesai masalah utama rakyat.
“Untuk itu, UMNO-BN Sabah yang diberi autonomi sepenuhnya diharap dapat menjalinkan kerjasama secara bijaksana dengan lain-lain gabungan atau gagasan,” katanya.
Dalam hal berasingan, Zahid berkata, pembahagian kerusi sedang diperincikan dengan sasaran minimum satu kerusi satu parlimen namun idealisme sebenar sasaran kerusi adalah lebih tinggi.






