UMNO kena jiwai semangat kiambang selepas perahu berlalu

PENYOKONG terutamanya ahli UMNO wajar menyemai semangat kiambang selepas perahu berlalu bagi memastikan kesepaduan parti terus mengukuh sekali gus menyumbang kekuatan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini.

Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, setiap ahli UMNO harus berpijak di bumi yang nyata bahawa acuan politik dilalui ketika ini yang menyebabkan parti itu dapat menjadi antara parti yang berkuasa dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta para pemimpin parti itu tidak sesekali menimbul provokasi yang menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah langkah tepat dan kena pada masanya.

“Biduk berlalu kiambang bertaut, UMNO kena rapatkan kembali saf kekuatan, bersatu padu dan patuh pada saranan Presiden Datuk Seri Zahid. Pentingnya menjiwai semangat kiambang bertaut selepas perahu berlalu.

“Politik ini mesti ada bijaksana, siapa sangka UMNO yang hanya ada 26 kerusi Parlimen boleh menjadi sebahagian kerajaan, ada jadi Timbalan Perdana Menteri, tujuh Menteri Kabinet. Jadi itulah hakikatnya, dengan ada kuasa kita masih boleh membantu rakyat, membela agama dan memajukan negara.

“Memang satu langkah tepat dan sudah sampai masanya apa yang ditegur oleh Presiden UMNO itu bahawa jangan ada pemimpin UMNO membuat provokasi lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menegur kenyataan kurang ‘enak’ yang dilemparkan segelintir pemimpin UMNO terhadap rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Meskipun terdapat dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan yang dulunya musuh UMNO, namun Ahmad Zahid menegaskan, perkara itu merupakan sejarah lampau dan tidak perlu memohon maaf sebaliknya setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan digesa menyemai sikap hormat menghormati antara satu sama lain.

Justeru, Dr Azhar yang merupakan Ahli Dewan Negara menyeru para pemimpin Kerajaan Perpaduan untuk menjaga keharmonian dan kesepakatan yang terjalin serta berhati-hati dalam tindak tanduk agar tidak mengguris hati sesama sendiri.

“Politik ini 1001 kemungkinan, dulu kita bermusuh, apa yang UMNO tak kata kepada musuhnya, begitu juga apa yang musuh UMNO iaitu DAP kecam padanya. Sama-sama dulu dok kata, kecam. Jadi sekarang ini semua kena buang yang keruh dan ambil yang jernih. Memang tepat sekali seperti Datuk Seri Zahid cakap bahawa tak perlu minta maaf atas kisah-kisah dulu.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kena hormat menghormati, jangan sentuh perkara yang sensitif. Elakkan memberi kenyataan secara terbuka, jika ada tidak puas hati boleh salurkan pada pucuk pimpinan parti, boleh kemukakan pada sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Biarlah episod sejarah panjang pertembungan antara kepartian yang telah berlalu, tidak dijadikan penghalang kepada perpaduan. Jadikanlah apa yang telah berlaku sebagai sempadan untuk kita membina masa depan yang lebih cemerlang untuk umat dan negara.

“Perpaduan merupakan kunci kemakmuran dan kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran, bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan dan manfaat bersama,” katanya.

Related Posts

Tun M gagal satukan Melayu kerana percaturan politik sendiri

PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen berpandangan kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad menyatukan orang Melayu berpunca daripada percaturan politik yang dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu sejak Pilihan Raya Umum…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penggantungan Bersatu dijangka beri kesan kepada PN di peringkat nasional

TINDAKAN penggantungan melibatkan Bersatu dilihat tidak memberi kesan besar terhadap kedudukan Pas di Terengganu, namun berpotensi memberi implikasi lebih besar kepada landskap Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional. Pensyarah Fakulti…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi