KUANTAN – UMNO berpendirian tegas bahawa tiada keperluan bagi kerajaan mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
UMNO katanya, menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Islam, dalam mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa halangan.
“Prinsip ini telah lama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan negara.
“Selain itu, tradisi Kabinet Malaysia yang dianggotai ahli daripada pelbagai kaum sudah menjamin segala masalah rakyat disuarakan oleh wakil masing masing.
“Justeru, UMNO berpandangan bahawa kenyataan dibuat Ahli Parlimen Raub di Dewan Rakyat berkaitan isu ini seharusnya ditolak sepenuhnya.
“Ini kerana ia mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
“Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam.
“Maka peringkat persekutuan juga boleh mencontohi langkah ini untuk menjamin hak semua rakyat,” katanya.







