PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam di negara untuk terus berani meneroka bidang baharu dan asing dalam usaha mewujudkan kerukunan hidup serta kekuatan ekonomi semasa dan masa hadapan.
Mengambil contoh kejayaan maahad tahfiz, Perdana Menteri berkata, pelajar institusi itu bukan sahaja mempunyai kekuatan dari segi akhlak dan nilai yang baik, tetapi kini disemai keupayaan profesional dan teknikal.
Tegas beliau, kemampuan kerajaan Madani hari ini juga memberi peluang untuk rakyat mencuba pelbagai bidang.
“Umat Islam hari meneroka benda baharu, yang asing daripada kita, seperti (yang berlaku terhadap) maahad tahfiz yang sudah mencapai kejayaan secara rasmi dan tidak rasmi.
“Kini seramai 200,000 pelajar institusi itu dipastikan mempunyai kemampuan peluang untuk menjadi tenaga penggerak dalam kekuatan akhlak dan nilai. (Ditambah) dengan keupayaan profesional dan teknikal dalam pelbagai bidang seperti tenaga, digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk kekuatan kini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa ke-64 bagi tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi
Yang turut hadir Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.







