
SANDAKAN – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman melakukan lawatan singkat ke Sandakan bagi meninjau perkembangan pembinaan Pusat Islam Sabah di Batu 7, Jalan Kampung Sungai Kayu, di sini, pada Selasa.
Tun Musa menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau diberikan taklimat mengenai status semasa projek berkenaan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson bersama arkitek projek, Mir Zafriz Mior Zawari serta kontraktor yang terlibat.
Menurut Musa, Pusat Islam Sabah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan itu kini telah mencapai tahap siap kira-kira 85 peratus.
“Projek ini menunjukkan perkembangan yang baik dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mei 2026,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Musa turut menzahirkan harapan agar pembinaan pusat berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Untuk rekod, projek pembinaan Pusat Islam Sandakan bermula sejak tahun 2017 dengan kos keseluruhan RM60 juta di atas tapak seluas 5.2 hektar di Jalan Sungai Kayu.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek berkenaan sebelum ini mengalami kelewatan susulan beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan politik di Sabah.




