
KUCHING – Sempena sambutan Hari Polis ke-218, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (TYT) Tun Wan Junaidi Tuanku Jafaar menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sambutan ini bukan sekadar penghormatan kepada pasukan keselamatan, tetapi saya sendiri pernah berkhidmat dalam PDRM,” ujar beliau.
Wan Junaidi pernah menyertai pasukan polis pada 1954 sebelum menyertai Pasukan Polis Hutan (PPH) dari 1968 hingga 1973.
“Saya juga pernah bertugas di di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) yang merupakan zon operasi penting ketika era darurat untuk mengekang ancaman komunis di Sarawak,” kata beliau lagi.
Selain itu, beliau pernah berada di barisan hadapan sebagai anggota Polis Hutan yang bertugas dalam keadaan penuh cabaran dan berisiko demi memastikan negara khususnya Sarawak bebas daripada ancaman.
“Mereka yang pernah berkhidmat dalam PPH dan RASCOM tahu betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan, meninggalkan keluarga dan menghadapi pelbagai ancaman demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Sementara itu, Wan Junaidi turut menekankan keamanan negara merupakan hasil berterusan PDRM dan memerlukan sokongan padu daripada masyarakat sejajar dengan tema sambutan tahun ini ‘Polis dan Masyarakat: Keselamatan Bersama’.
“Setiap anggota polis baik di bandar mahupun pendalaman atau sempadan, memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyokong dan menghargai jasa PDRM.
“Kepada seluruh warga PDRM, saya ucapkan terima kasih atas segala pengorbanan dan negara ini terhutang budi kepada anda. Selamat Hari Polis ke-218,” kata beliau lagi.




