KUCHING – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025, menyeru rakyat agar terus mengekalkan perpaduan, mengamalkan nilai murni Ramadan, dan menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.
Beliau menekankan Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga lambang kejayaan mengekang hawa nafsu serta memperkukuh iman dan ketakwaan.
“Di Sarawak, Aidilfitri turut menjadi simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum, di mana tradisi rumah terbuka yang diamalkan selama ini membantu memperkukuh silaturahim dan semangat toleransi,” ujar beliau.
Dalam perutusannya, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Beberapa inisiatif utama yang diumumkan termasuk pemberian Elaun Khas Penjawat Awam Sarawak sebanyak RM400 hingga RM700 sebulan bermula Januari 2025. Selain itu, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bernilai RM450 juta telah diagihkan kepada lebih 886,288 penerima, bagi membantu rakyat dalam persiapan menyambut Hari Raya,” kata beliau.
Selain itu, ujar beliau lagi, usaha kerajaan juga berjaya mengeluarkan 13,798 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kategori miskin tegar melalui bantuan bersasar, padanan pekerjaan, dan latihan kemahiran.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kemajuan Sarawak, khususnya dengan siapnya Projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 786km yang menelan belanja RM16 bilion.
“Projek ini bukan sahaja mempercepat perjalanan rakyat semasa musim perayaan, tetapi juga membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu, terutamanya bagi penduduk luar bandar,” kata beliau.
Ujar beliau lagi, kejayaan peningkatan pendapatan negeri kepada RM14.2 bilion pada 2024 menunjukkan Sarawak berada pada landasan yang kukuh untuk terus maju.
“Kemajuan lain yang dicapai termasuk peningkatan bekalan air bersih luar bandar kepada 85 peratus dengan sasaran 100 peratus menjelang 2030 serta bekalan elektrik luar bandar yang kini mencapai 98.6 peratus.
Di akhir perutusannya, beliau turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang perayaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.







