
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam (JAIS) menutup sekolah tahfiz yang tidak berdaftar sekali gus tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Baginda juga menitahkan JAIS mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri itu.
Titah baginda lagi, sekolah tahfiz juga perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf termasuk alat pencegah kebakaran.
“Beta mahu keadaan fizikal dan fasiliti bangunan dan asrama sekolah-sekolah tahfiz ini hendaklah dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf dan alat-alat pencegah kebakaran juga hendaklah berada di dalam keadaan yang baik dan diluluskan oleh pihak bomba.
“Sekolah-sekolah Tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah sempena Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor, semalam.
Baginda turut mengingatkan JAIS supaya terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng, selain berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).







