KUANTAN – Sesi taklimat ringkas dan penjelasan berkaitan cara memantau tahap kesihatan antara pengisian ziarah kasih Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan.
Menerusi program itu, pasukan daripada biro itu juga dapat memahami dan mendekati penduduk dengan lebih rapat.
Pengerusinya, Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, inisiatif biro berkenaan adalah antara kaedah paling berkesan dalam mempromosikan cara hidup lebih berkualiti.
“Untuk sesi kunjungan kali ini, kita meluangkan masa mengunjungi kediaman penduduk di Kampung Jaya Gading.
“Hampir sepuluh rumah sempat kami singgah bagi tujuan memberikan pemeriksaan dan khidmat nasihat secara terus kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, program berasaskan komuniti itu sentiasa mendapat sokongan baik daripada penduduk setempat.
Jelasnya, penduduk yang dikesan mempunyai simptom penyakit berisiko pula diberi penerangan ringkas selain dinasihatkan melakukan pemeriksaan lengkap di klinik berhampiran.
“Kita berharap melalui sedikit bantuan ini dapat memberi manfaat besar kepada semua pihak dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mereka,” katanya.





