
TULANG ditemukan di Pantai Batu Burok 2, dekat Kuala Terengganu semalam disahkan bukan tulang manusia.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, bedah siasat dilakukan kira-kira jam 9 hingga 11 pagi tadi di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Menurutnya, hasil bedah siasat merumuskan dapatan seperti berikut iaitu mengesahkan tulang yang diterima daripada pihak polis adalah bukan tulang manusia.
Katanya, justifikasi ini dibuat berasaskan terdapat perbezaan daripada bentuk, ketebalan, panjang serta tiada kesamaan dengan mana-mana tulang rangka manusia.
“Sampel DNA tulang tersebut akan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui terdapat profil atau tidak,” katanya kepada Berita Harian.
Semalam, pihak polis memaklumkan sebanyak 34 serpihan dipercayai tulang manusia ditemukan di tepi pantai berkenaan.
Azri berkata, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan telefon oleh orang awam dan satu laporan polis dibuat bagi siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah di tempat kejadian yang dilakukan bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.