PUTRAJAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan berdepan kos kewangan yang tinggi serta perbelanjaaan tidak wajar jika ditukar semula kepada nama asalnya, iaitu Universiti Pertanian Malaysia.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama), Norsyahriman Md Arif berkata, walaupun UPM ditukar nama pada 3 April 1997, pihak universiti
tidak pernah mengesampingkan bidang pertanian.
Malah, jelasnya, bidang pertanian sentiasa diangkat sebagai antara fokus terpenting dalam usaha untuk menjadi sebuah universiti yang terkemuka dan
bereputasi antarabangsa.
“Setiap kali pelan strategik dan matlamat
UPM dibincang dan dibentang, pastinya agenda memperkasakan pertanian tidak pernah tercicir. Di samping itu dengan hanya menukar nama, tiada sebarang jaminan pun segala isu yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan dalam negara akan selesai.
“Antara bukti kesungguhan dan iltizam UPM untuk menjulang bidang
pertanian ke aras yang tertinggi ialah menjenamakan semua aktiviti pengembangan pertanian dan
keterjaminan makanan dengan jenama PUTRA yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’, dilancarkan oleh Sultan Selangor pada Mei lalu,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas
cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang berpandangan mahu menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia, selain akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu menitahkan supaya nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dikekalkan.
Baginda bertitah, bahawasanya Lembaga Pentadbir UPM serta baginda selaku Canselor tidak terlebih dahulu dirujuk berkaitan sebarang cadangan pertukaran nama universiti terbabit.
Mengulas kejayaan UPM dalam memperkasa pertanian, Norsyahriman berkata, pihak universiti telah melancarkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang bertujuan membantu pihak kerajaan membina sistem makanan lestari, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan bermakna di peringkat nasional mahupun di peringkat global.
Menurut beliau, pelbagai lambakan perancangan dan pelaksanaan program spesifik yang berkait dengan bidang pertanian dilaksana oleh UPM secara sumatif dan formatif, khususnya ke arah penjanaan ilmu dan teknologi pertanian yang lebih kompeten.
“Kedudukan UPM dalam QS World University Ranking yang saban tahun
meningkat juga adalah bukti jelas UPM pada hari ini berada dalam
landasan yang terbaik untuk terus berperanan menyejahterakan dan
memakmurkan kehidupan rakyat khususnya dalam konteks pertanian
dan keterjaminan makanan.
“Justeru, besar harapan kami agar selepas ini anggota pentadbiran kerajaan atau ahli-ahli politik akan lebih berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan mengenai UPM berikutan ia milik rakyat Malaysia dan antara aset berharga dalam negara.
“Pandangan, cadangan atau komen yang kurang cermat akan berisiko untuk
merencatkan usaha UPM ke arah melahirkan anak bangsa dan graduan
bitara yang holistik,” katanya.
Susulan titah Sultan Selangor itu, Mohamad Sabu pada Ahad mengesahkan akur nama Universiti Putra Malaysia dikekalkan dan keputusan itu adalah muktamad.








