
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan meminggirkan negeri-negeri tertentu, khususnya yang ditadbir oleh pembangkang, dalam aspek pemberian peruntukan pembangunan.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa segala peruntukan yang disalurkan kepada negeri-negeri dibuat berdasarkan keperluan dan bukan atas dasar pilih kasih atau kecenderungan politik.
Jelasnya, angka dan data perbelanjaan pembangunan membuktikan bahawa beberapa negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) menerima jumlah peruntukan yang tinggi, malah turut terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek mega bernilai berbilion ringgit.
Menurut Anwar, dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) misalnya, negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang menerima peruntukan tertinggi dalam negara, sekali gus menolak tohmahan bahawa negeri-negeri berkenaan dipinggirkan.
“Ia menolak sebahagian tanggapan bahawa ada peminggiran seperti yang ditohmah selama ini. Bila kita beri angka ini, tidak dihadam dan naratif lama diteruskan. Ini saya tunjuk (angka sebagai bukti) dalam Kerajaan MADANI bukan (mereka) dipinggirkan, malah ditambah peruntukan berdasarkan keperluan.
“Saya sebut di Dewan ini berulang kali mengenai RTB umpamanya, untuk keseluruhan negara RM25.08 bilion (diperuntukkan) dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang, Terengganu yang menelan kos RM8.8 bilion,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri berkenaan mencatatkan peningkatan ketara bagi tempoh tahun 2022 hingga 2025.
Sebagai contoh, Sabah menyaksikan peningkatan daripada RM5.2 bilion pada tahun 2022 kepada RM6.7 bilion pada tahun 2025, manakala Sarawak daripada RM4.7 bilion kepada RM5.9 bilion.
Terengganu pula mencatatkan peningkatan daripada RM1.4 bilion kepada RM1.8 bilion, diikuti Kelantan daripada RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion. Kedah dan Perlis juga mengalami kenaikan, masing-masing daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion, dan daripada RM400 juta kepada RM600 juta.
Tambahnya, Sabah dan Sarawak turut menerima manfaat besar melalui pembangunan infrastruktur, termasuk Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang melibatkan kos RM15.9 bilion, serta projek Sabah Sarawak Link Road dengan kos hampir RM10 bilion.
“ECRL yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian Selangor, itu jumlah keseluruhannya RM74.96 bilion. Ini tak termasuk Central Spine Road di Pahang, Terengganu dan Kelantan, di mana kosnya RM6.38 bilion.
“Ini bukan soal pilih atau tidak, tapi keperluan. Bekalan air melalui pinjaman di bawah PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad), RM1 bilion untuk Kedah, RM1 bilion untuk Kelantan. Ini termasuk skim pemindahan air Jeniang di Kedah dengan kos RM922 juta,” katanya.
Bagi pembangunan wilayah, khususnya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Perdana Menteri berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM700 juta bagi pembangunan hab logistik di Sidam, Kedah, manakala RM723 juta diperuntukkan bagi kemudahan infrastruktur pembangunan Lembah Chuping di Perlis. Tambahan pula, projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh fasa ketiga turut dilaksanakan dengan kos RM300 juta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa semua angka tersebut telah dirancang secara teliti dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan akan diteruskan dalam RMK13.
“Angka-angka ini ada dalam buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13. Saya turun ke negeri untuk mendengar, atas permintaan Menteri Besar, mereka cadangkan beberapa keutamaan di mana itu mungkin berbeza dengan keutamaan persekutuan dan Kementerian Kewangan.
“Tapi saya ubah suai untuk bagi jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih, kita akan terima dan ini saya akan umum dalam Belanjawan 2026,” katanya.




