
PUTRAJAYA – Amanah menolak sekeras-kerasnya dakwaan jahat yang mengaitkan kononnya parti ini membawa fitnah terhadap agama dan dianggap lebih berbahaya kepada masyarakat
Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tuduhan terbabit bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah prinsip perjuangan AWAN dalam membina sebuah negara yang lebih adil, harmoni dan progresif.
Tegasnya, dakwaan itu hanyalah tindakan ‘desperado’ lawan untuk mengalih perhatian rakyat daripada keperluan sebenar iaitu membina negara lebih demokratik, adil dan berintegriti yang kini sedang hebat digerak bersama Malaysia Madani.
“Tuduhan bahawa Amanah menjadi alat kepada mana-mana pihak adalah tidak benar kerana setiap dasar, program dan keputusan yang dibuat adalah mengambil kira perlembagaan persekutuan, Rukun Negara selain kepentingan rakyat serta negara.
“Pihak menuduh Amanah sebagai ancaman kepada agama perlu bertanya kepada diri sendiri adakah mereka benar-benar memahami asas bernegara, menyanjungi perpaduan dalam kepelbagaian.
“Adakah mereka mengutamakan rakyat dan negara atau masih asyik bermain dengan sentimen perkauman dan keagamaan agar terus relevan sekali gus mengekalkan kuasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu media melaporkan Amanah akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, laporan itu susulan ucapan Sanusi pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah semalam yang mendakwa Amanah dilahirkan DAP.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah menjelaskan, sebagai sebuah parti yang menjunjung Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Lil ‘Alamin), Amanah menolak sebarang bentuk politik fitnah, ekstremisme atau retorik yang memecahbelahkan masyarakat.
“Amanah berpegang teguh kepada politik nilai iaitu politik yang berlandaskan prinsip Islam yang adil, beretika dan inklusif.
“Dakwaan bahawa parti ini membahayakan agama hanyalah tindakan terdesak pihak lawan untuk memesongkan pandangan rakyat daripada keperluan sebenar politik yang berakhlak dan berintegriti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kata Aiman Athirah, Amanah sentiasa memperjuangkan nilai Islam dalam pentadbiran negara seperti menentang rasuah, memperkukuh institusi kehakiman dan memastikan keadilan dan kesejahteraan sosial tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
“Amanah sentiasa mengutamakan politik khidmat iaitu politik yang berasaskan kebajikan dan kesejahteraan rakyat bukan sekadar permainan kuasa dan slogan kosong penuh retorik,” katanya.