KUANTAN – Pemuda UMNO Bahagian Lipis menyifatkan kenyataan ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertikai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebagai tidak bertanggungjawab serta berpotensi merosakkan kewibawaan institusi negara.
Ketuanya, Hafizul Rahman Muhamad berkata, cubaan membina naratif bahawa laporan audit itu bersifat silap dan bermotif politik adalah tindakan berbahaya dan mencerminkan keghairahan politik melampau pihak pembangkang.
“Laporan itu bukan dokumen politik… ia disediakan melalui proses audit profesional, berlapik dan berasaskan fakta.
“Menyerangnya tanpa hujah sah hanya memperlihatkan gaya politik terdesak yang sanggup menggadaikan kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menegaskan, kenyataan sedemikian amat memalukan khususnya apabila ia datang daripada seorang wakil rakyat daripada parti berteraskan Islam.
Tegasnya, tindakan mempertikai kredibiliti Ketua Audit Negara secara terbuka juga adalah satu bentuk ketidakadaban terhadap sistem Raja Berperlembagaan.
Ini memandangkan pelantikan Ketua Audit Negara diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita bukan mahu bersoal jawab mengenai perbezaan pandangan politik, tetapi soal penghormatan terhadap institusi negara yang menjadi tunjang kepada tadbir urus dan akauntabiliti kerajaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Lipis menuntut Tuan Ibrahim menarik balik kenyataan berkenaan serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan institusi Ketua Audit Negara.
“Wakil rakyat yang gagal membezakan antara kritikan berfakta dan serangan membuta tuli hanya akan menambah kekeliruan serta menanam benih ketidakpercayaan rakyat terhadap sistem negara,” katanya.



