
KOTA KINABALU – Program Tamu Suara 360 (TS360) anjuran Majlis Belia Sabah (MBS) membuka lembaran baharu kepada generasi muda apabila lebih 300 pemimpin belia berhimpun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad lalu bagi menyuarakan aspirasi, cadangan dan pandangan mereka berkaitan pembangunan negeri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, TS360 bukanlah platform politik, sebaliknya medan sebenar buat anak muda Sabah berani bersuara, berkongsi idea dan membentuk naratif masa depan mereka.
Menurutnya, pendekatan yang diterapkan dalam penganjuran TS360 menawarkan suasana santai namun penuh makna, bagi memastikan suara anak muda didengari dan dihargai.
“Semalam, saya berpeluang bertemu dengan 300 pemimpin muda Sabah dalam Dialog TS360 dan mendengar sendiri aspirasi mereka.
“Inisiatif ini tidak akan terhenti di sini. Malah, Dialog TS360 akan diteruskan ke beberapa daerah lain termasuk kawasan pedalaman Sabah,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Isnin.

Dalam pada itu, Armizan turut menyeru agar lebih ramai anak muda Sabah tampil menyuarakan pandangan mereka melalui platform TS360 sebagai medium perbincangan yang terbuka dan inklusif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBS atas penganjuran inisiatif yang disifatkan sangat bermanfaat dan berimpak tinggi kepada pembangunan belia negeri.
