KANGAR – Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Ismail Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu.
Pelantikan itu menyaksikan beliau dinaikkan pangkat daripada Asisten Komisioner Polis, menggantikan Deputi Komisioner Polis Baderulhisham Baharudin yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Serbaguna IPK Perlis dengan disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Mohd. Ismail yang dilahirkan di Singapura menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar dan berikrar untuk menyumbang sepenuhnya kepada pasukan.
“Saya akan meneruskan apa yang telah direncanakan oleh kontinjen dan menyambung perkara-perkara yang baik untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Menurutnya, negeri Perlis bukan asing baginya kerana pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Perlis dari tahun 1996 hingga 1999.
Sementara itu, Muhammad menyuarakan keyakinan bahawa pengalaman selama 38 tahun yang dimiliki Mohd. Ismail akan membantu memperkukuh prestasi pasukan.
“Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam PDRM dan kehadirannya membolehkan lebih banyak pembaharuan dari segi operasi serta pentadbiran dapat dilaksanakan,” katanya.






