KUALA KANGSAR – Seorang anggota tentera maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah trak tentera terlibat dalam kemalangan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, sejurus selepas keluar dari Terowong Menora, petang tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang.
Susulan itu, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya serta Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Kemalangan tersebut membabitkan tujuh anggota tentera. Lima daripada mereka berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
“Dua lagi mangsa bagaimanapun tersepit di bahagian belakang trak,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 5.54 petang, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa kedua yang cedera parah pula dikeluarkan kira-kira 20 minit kemudian, sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” jelasnya.





