
SARATOK – Bangunan Tokong Fung Shan Shu Saratok kini tampil dengan wajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual.
Pengerusinya, Lim Guan Ann berkata, projek tersebut menjadi satu simbol kebersamaan dan komitmen dalam memperkasa kemudahan rumah ibadat demi keselesaan komuniti setempat.
Menurut beliau, projek itu direalisasikan hasil bantuan dana melalui peruntukan Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kontraktor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan menyiapkan kerja-kerja naik taraf ini dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Tambah beliau, penambahbaikan itu amat bermakna buat komuniti Cina di Saratok, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

“Naik taraf ini ibarat hadiah istimewa sempena Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di sini. Kini, para penganut dapat beribadat dalam suasana yang lebih selesa dan teratur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lim turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas sokongan berterusan dalam membantu agama-agama lain di negeri ini mendapatkan kemudahan ibadat yang lebih baik.
“Usaha ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Kita hidup dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan, dan bantuan ini diberikan secara adil tanpa mengira kaum atau agama,” tegasnya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih khusus kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas keprihatinan berterusan terhadap keperluan rakyat pelbagai latar belakang di negeri ini.
Projek naik taraf tersebut bukan sahaja memperindah fizikal bangunan, malah memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Saratok yang berbilang kaum dan agama.
Foto: EDISI KALAKA SARATOK



