
SANDAKAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited memastikan keselamatan perairan Sabah termasuk perairan Sandakan, khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan sentiasa terjamin.
Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar berkata, pihaknya melaksanakan rondaan dan pemantauan keselamatan perairan di kawasan berkenaan secara berkala setiap bulan sebagai langkah pencegahan dan kesiapsiagaan.
“Menjelang PRK Kinabatangan, pengawasan akan dipertingkatkan dengan kerjasama agensi-agensi keselamatan lain bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin,” katanya kepada media selepas merasmikan Sandakan Navy Fleet Run 2025 (SNFR25) di Dataran Piazza Habour Mall, di sini, pada Sabtu.

Mengenai larian itu, Yusne menyifatkan penyertaan lebih 3,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat membuktikan minat dan sokongan masyarakat tempatan terhadap usaha TLDM mendekati komuniti setempat.
Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada TLDM untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai di samping mempromosi serta memperkenalkan peranan dan tugas pasukan itu kepada masyarakat.
“Program dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bukan pertama kali dibuat dan kita turut menerima sokongan padu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi keselamatan lain
“Program ini tidak mungkin dapat dijayakan tanpa penglibatan serta bantuan mereka dan diharapkan agar ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.




