
KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk TS Mustapha Sakmud menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian 1963 (MA63).
Mustapha berkata, titah tersebut merupakan peringatan yang amat bermakna yang negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Saya menyambut baik seruan agar kita kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, serta peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.
“Sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Jelasnya, sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan MA63 secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, dengan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Usaha berterusan ini merangkumi penambahbaikan kerangka perundangan dan perlembagaan, penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah, serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan,” ujarnya.
Tegas Mustapha, pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian, tetapi merupakan ‘Agenda Nasional Masa Hadapan Negara’ bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, pengurusan sumber yang berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berintegriti.
“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh,” katanya.





