
TINDAKAN peguam, Latheefa Koya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu keputusannya untuk tidak mengesahkan kewujudan Titah Adendum Diraja yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah berkepentingan politik semata-mata.
Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat kenyataan Latheefa Koya itu tidak berniat untuk membela Najib tetapi sekadar mahu menyerang musuh politiknya.
“Dalam kes Latheefa Koya menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim berlindung di belakang Agong, bermuka-muka adalah kepentingan politik masing-masing.
“Bukan mahu membela Najib, atau mendapatkan keadilan tetapi lebih menggunakan isu ini untuk menghentam musuh politik mereka,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press hari ini.
Latheefa dalam kenyataannya di laman X, mendakwa Anwar menyorok di belakang Agong dan mengatakan beliau tidak memahami dari sudut perlembagaan.
Dakwanya lagi, Anwar mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai mengenai fungsi Lembaga Pengampunan dan peranan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum itu, pada 10 Disember lalu, Anwar ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berkata, isu mengenai pengampunan Najib termasuk berkait Titah Adendum ada dibincangkan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Perdana Menteri bagaimana pun, beliau tidak mengesahkan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum untuk membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Justeru, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memutuskan mengenai isu kewujudan Titah Adendum berkenaan.





