LIMBANG – Penganjuran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2024 penting untuk menjadikan Keluarga Malaysia yang Sihat Sejahtera akan tercapai.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata penganjuran program ini berupaya dalam meningkatkan literasi kesihatan dalam pembudayaan hidup sihat dan kebersihan persekitaran.
Ujarnya, negara pada masa ini dalam usaha untuk menggalakkan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.
“Saya amat menyokong penuh Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menggalakkan orang awam untuk bertindak ke arah mengamalkan kawalan kesihatan kendiri termasuk meningkatkan kesedaran saringan kesihatan kepada dewasa 18 tahun dan ke atas.
“Saya menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan sama ada persekutuan ataupun negeri, agensi swasta, NGO dan seluruh penduduk Limbang agar bersama-sama menyokong agenda ini,” katanya.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang itu berkata semasa merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Limbang 2024 di Dewan Suarah pada Jumaat.
Hasbi turut menggesa kepada orang ramai agar tampil melakukan saringan kesihatan bagi mengenal pasti risiko dan mengesan penyakit tidak berjangkit di peringkat awal.
“Saya ingin menyeru semua penduduk Bahagian Limbang untuk tampil mengambil peluang melakukan saringan kesihatan terutamanya golongan yang berumur 40 tahun ke atas supaya kita tahu tahap kesihatan diri masing – masing.
“Perkhidmatan saringan kesihatan ini boleh didapati di semua klinik kesihatan kerajaan, Peka B40, Perkeso dan Sarawak Family Planning,” jelasnya.





