TINDAKAN Israel di Semenanjung Gaza menjurus ke arah pembersihan etnik dan genosid.
Saskia Kluit, Pelapor bagi Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah (PACE), pada Jumaat menyatakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza adalah buatan manusia dan merupakan tragedi besar bagi kemanusiaan.
“Ini adalah krisis kemanusiaan kita bersama kerana kita membiarkannya berlaku tanpa halangan di depan mata kita.
“Sejak 2 Mac 2025, Israel telah mengenakan sekatan penuh terhadap bekalan kemanusiaan penting ke Gaza, ditambah pula dengan serangan berskala penuh yang disambung semula ke atas wilayah itu,” kata Kluit, lapor Wafa.
Beliau memberi amaran bahawa keadaan semakin teruk dan melampaui jangkaan apabila kanak-kanak merupakan mangsa utama keganasan ini.
“Tanpa makanan, air bersih, rawatan perubatan dan tempat perlindungan yang selamat, hak mereka untuk hidup telah dinafikan.
“Barang bantuan yang sangat sedikit dibenarkan masuk oleh kerajaan Israel tidak mencukupi untuk menyara penduduk, dan tidak sampai kepada golongan paling terdedah. Kanak-kanak sedang mati akibat kebuluran,” tambah beliau.
Kluit menegaskan keperluan agar bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa syarat, tanpa halangan dan dalam kuantiti mencukupi untuk menjaga kesihatan penduduk.
“Penduduk Palestin di Gaza kini terperangkap dalam kawasan yang semakin kecil, tanpa laluan keluar dan tanpa rehat daripada pengeboman dan serangan. Zon keselamatan yang dikatakan itu tidak memberi sebarang keselamatan.
“Lebih-lebih lagi apabila kerajaan Israel menambah kenyataan mengenai rakyat Gaza menjadikan sangat sukar untuk menafikan bahawa tindakan-tindakan ini menjurus ke arah pembersihan etnik dan genosid,” tambah beliau.
Kluit menggesa Israel supaya segera menghentikan pembunuhan penduduk di Gaza dan menghormati sepenuhnya komitmennya di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menggesa Israel supaya segera membenarkan akses bebas, berkecuali dan tanpa halangan oleh organisasi kemanusiaan seperti UNRWA dan memastikan bekalan barang keperluan asas ke Semenanjung Gaza dijamin serta-merta.
Kluit turut mengecam rancangan untuk memaksa perpindahan penduduk Palestin dari Gaza.
“Rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza dari wilayah tersebut yang akan menafikan hak kanak-kanak Gaza untuk masa depan di tanah air mereka, mesti segera dikecam dan ditarik balik.
“Saya menyeru masyarakat antarabangsa menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyatakan kebenaran dan memenuhi kewajipan undang-undang di bawah Konvensyen Geneva, termasuk konvensyen mengenai genosid,” katanya.
Beliau menggesa negara anggota Majlis Eropah untuk melakukan segala yang termampu bagi memastikan gencatan senjata dipulihkan dan undang-undang antarabangsa dipatuhi.
“Penduduk Gaza adalah manusia dan mesti dilindungi sebagai manusia. Hukuman kolektif dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan sekarang,” kata beliau mengakhiri sidang media.








