TINDAKAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah harus dicontohi pemimpin parti yang lain.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap siasatan berkenaan tidak mengganggu sesi perbahasan pembentangan Belanjawan Sabah hari ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
“Saya telah meneliti laporan-laporan media tentang rakaman perbualan tersebut dan mendapati pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin parti lain.
“Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir Oktober 2025 dan kita harus menjangkakan apa juga (boleh) berlaku bergantung kepada hasil siasatan yang diteruskan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Abu Dhabi, hari ini.
Hajiji pada Isnin lalu dilaporkan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat rakaman audio ADUN yang tular didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM berkenaan isu itu.







