
SIBU – Tiga buah rumah teres dua tingkat di Jalan Ling Kai Cheng dilaporkan terbakar dalam satu kejadian petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral (balai bantuan) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres dua tingkat jenis struktur kekal.
“Anggaran peratusan kebakaran bagi rumah pertama di sebelah kiri adalah 20 peratus, rumah kedua di bahagian tengah 70 peratus, manakala rumah ketiga di sebelah kanan sebanyak 20 peratus. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, PKO menjalankan operasi pemadaman menggunakan teknik ofensif dan defensif melibatkan satu aliran, dua pancutan sepanjang 200 kaki hos, dua nozel serta satu cabang pembahagi.
“Anggota pemadaman turut melaksanakan teknik ‘fire break’ bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Selepas kerja-kerja pemeriksaan dan pembersihan sisa kebakaran diselesaikan serta dipastikan tiada lagi punca api, komander operasi mengisytiharkan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.41 petang,” katanya.





