
TUARAN – Tiga lelaki ditemukan selamat selepas terlibat dalam kejadian bot karam di Pantai Mimpian Jadi, di sini, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 12.35 tengah hari.
Beliau berkata, seorang mangsa berumur 44 tahun berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.
“Dua lagi mangsa ditemui kira-kira pukul 1.50 petang oleh nelayan pada jarak 2 kilometer dari bot tersebut dilaporkan karam.
“Mereka kemudian dibawa ke balai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Operasi ditamatkan pukul 2 petang selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud.





