
KUCHING – Polis berjaya menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan di sekitar bandar ini menerusi ‘Op Lejang Khas’.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan pada jam 3 petang, 11 Mac itu membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 28 hingga 33 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek telah ditahan di Tabuan Tranquility, Kuching dan Kampung Stass, Bau.
“Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit terlibat secara langsung dalam kes curi kenderaan berkenaan, manakala suspek wanita tersebut merupakan teman wanita kepada salah seorang daripada suspek terbabit,” katanya dalam satu siaran media.
Susulan daripada penahanan itu, pihak polis turut merampas dua kenderaan iaitu jenis Perodua dan Toyota.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu semakan mendapati salah seorang suspek lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Tambah beliau, hasil saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek lelaki berkenaan positif dadah, namun ujian ke atas suspek wanita adalah negatif.
Tegas beliau, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta boleh didenda.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa menjauhi apa-apa jua kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat turut diseru untuk tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.



