
SIBU – Muscle House Gym yang diwakili oleh tiga anak jati Saratok telah mengukir nama apabila berjaya meraih beberapa kejayaan dalam pertandingan bina badan Mr Fitness Sibu Jaya 2025, pada Sabtu.
William Intai, Mohamad Nurhafizi Nasir dan seorang lagi wakil Muscle House Gym Saratok iaitu Ahmad Farhan Bahron masing-masing berjaya menempa kejayaan sendiri dalam kejohanan tersebut.

William telah muncul sebagai juara bagi kategori Bawah 170cm dan turut dinobatkan sebagai Champion of Champions, manakala dua lagi rakan sepasukannya iaitu Nurhafizi dinobatkan sebagai juara dalam kategori atas 170cm, selain Ahmad Farhan mendapat tempat kedua dalam kategori sama.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur. Tidak lupa juga kepada keluarga dan rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya hingga sampai ke tahap ini,” kata William ketika dihubungi TMP.

“Saya juga tidak akan berhenti di sini dan akan terus berusaha bagi menempa nama dalam kejohanan-kejohanan akan datang,” ujarnya lagi.
Manakala, Nurhafizi berharap agar lebih ramai golongan muda terlibat dalam sukan seperti ini khususnya bagi mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya akan terus memberi sokongan padu terhadap segala aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan melibatkan sukan bina badan ini terutamanya di Sarawak. Semoga sukan ini akan terus mendapat perhatian oleh peminat-peminat sukan di luar sana,” katanya.

Terdahulu, pertandingan bina badan Mr Fitness Sibu Jaya 2025 yang berlangsung meriah telah diadakan di Pentas Utama Karnival Sibu Jaya dengan mempertandingkan dua kategori iaitu 170cm ke atas dan 170cm ke bawah yang merupakan antara acara tumpuan dalam Karnival Sibu Jaya 2025 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 14 September.



