
PUTRAJAYA – Semua agensi kerajaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan secara betul dan menyeluruh dalam setiap urusan rasmi termasuk surat-menyurat, dokumen, komunikasi serta penamaan program.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan, pihaknya mendapati masih wujud kecenderungan dalam kalangan agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing secara berlebihan, khususnya dalam penamaan program dan slogan rasmi.
“Perbuatan terbabit mencerminkan sikap yang tidak selari dengan dasar kebangsaan dan citra kebangsaan selain menjejaskan usaha memperkasakan Bahasa Melayu yang sedang giat dijalankan
“Bahasa kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuklah surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program dan majlis rasmi dalam urusan perkhidmatan awam,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi tidak selari dengan penegasan kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) antaranya yang bertarikh 29 Oktober 2025.
Katanya, surat edaran tersebut menjelaskan semua urusan rasmi kerajaan termasuk program, aktiviti dan projek yang dianjurkan atau diurus hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
“Penegasan itu turut selari dengan teguran berterusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pekeliling perkhidmatan sedia ada.
“Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan termasuklah surat-menyurat merupakan satu tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh disifatkan sebagai usaha menjatuhkan martabat Bahasa Melayu,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi merupakan simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan dan perlu dimartabatkan pada semua peringkat perkhidmatan awam.
“DBP sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf Bahasa Melayu pelbagai pihak yang memerlukan,” katanya.




