
KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan sayuran dan bahan mentah di pasaran tempatan mencukupi, walaupun Malaysia ketika ini berada di penghujung Monsun Barat Daya (MBD).
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri memaklumkan, pengurangan hasil ketika musim hujan adalah situasi biasa dan tidak menjejaskan bekalan secara keseluruhan.
Beliau menegaskan, isu kekurangan bekalan sayuran dan bahan mentah jarang berlaku susulan situasi sama dihadapi setiap tahun dan sehingga kini tiada aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak.
“Orang kata bekalan kurang itu tidak benar. Setakat ini memang belum ada aduan diterima dan bekalan kekal stabil. Sekarang ini adalah musim hujan, justeru, sedikit pengurangan hasil adalah perkara biasa.
“Namun, berbeza dengan musim panas yang biasanya menghasilkan lebihan,” katanya kepada media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Perkhidmatan Kerjasama (MoA) antara FAMA dan HDC di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Rabu.

Pertukaran MoA itu membabitkan Abdul Rashid serta Ketua Pegawai Bahagian Komersial HDC, Mohd Zamulud Awang Kechik, dengan disaksikan oleh Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dan Pemangku Pengerusi Halal Development Corp (HDC), Datuk Azhari Shari.
Kerjasama itu dilancarkan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 (MIHAS) edisi ke-21 yang berlangsung dari 17 September hingga 20 September ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, Malaysia mempunyai dua kawasan utama pengeluaran hasil tani iaitu di pantai timur dan pantai barat, yang menjadi mekanisme bagi menampung keperluan bekalan.
“Ketika ini hujan lebih banyak di pantai timur, namun hasil dari pantai barat mampu digunakan untuk menampung kekurangan di kawasan berkenaan,” katanya.




