PUTRAJAYA – Belum ada perancangan untuk mengaktifkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN), yang tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri selaku menteri dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal petroleum mengikut Akta 144.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rekod menunjukkan MPPN tidak aktif sejak 1995.
“Bagaimanapun, Majlis Tenaga Negara (MTN) telah diaktifkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri berhubung Dasar Tenaga Negara dan mesyuarat pertama telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 April 2024,” katanya.
Azalina berkata, MTN bertujuan mengemudi hala tuju sektor tenaga negara dan memastikan kebertanggungjawaban dan kepemilikan yang kukuh oleh pelbagai kementerian dan agensi pelaksana dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif dasar berkaitan tenaga.
Keanggotaan MTN turut melibatkan wakil daripada kerajaan Sabah dan Sarawak, katanya.
Azalina berkata demikian menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, bagi menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai pendirian terkini kerajaan terhadap penubuhan MPPN yang sepatutnya ditubuhkan mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan keanggotaan, antaranya dari negeri yang berkaitan.
Azalina berkata, MPPN bertanggungjawab menasihatkan Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 5(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144], dengan pelantikan mana-mana ahli majlis dibuat oleh Perdana Menteri atas kapasiti jawatan disandang oleh ahli berkenaan di luar MPPN, melainkan dinyatakan sebaliknya.






