
KOTA KINABALU – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perbuatan rasuah dan penyelewengan, walaupun melibatkan tokoh-tokoh besar termasuk bekas Perdana Menteri, Menteri atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa ada pihak tertentu yang ‘kebal’ daripada siasatan dan tindakan undang-undang, sambil menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat setiap kes berdasarkan bukti dan prosedur undang-undang.
“Mana pernah dalam sejarah, kalau ada bukti rasuah, SPRM tak peduli? Kamu Tun, Tan Sri, Menteri, dari Semenanjung atau Sabah.
“Kalau salah, SPRM akan masuk siasat. Kalau salah, kita hukum. Masuk penjara,” katanya semasa berucap di Program Himpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Kampung Kobuni Inanam, di sini pada Jumaat.

Beliau juga menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mencampuri urusan siasatan dan kehakiman.
“Kalau Perdana Menteri jadi penyiasat, penghukum, jaga penjara, itu bukan Perdana Menteri. Itu diktator. Saya bukan hakim. Kita ikut prosedur,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pengalamannya sendiri yang pernah dipenjara dan dianiaya, Anwar berkata beliau telah memilih untuk memaafkan segala kezaliman yang pernah dilaluinya.
“Saya pernah ditangkap, dipukul, dimasukkan ke dalam penjara, diaibkan tapi saya maafkan. Tapi kalau kamu curi duit rakyat, ambil berbilion-bilion, saya tak ada kuasa untuk maafkan. Itu duit rakyat. Saya mahu ambil balik.
“Saya maafkan hinaan terhadap saya, tapi saya tak boleh maafkan kecurian wang rakyat,” tegasnya.
Beliau juga menyangkal tuduhan kononnya tindakan kerajaan sekarang bermotifkan dendam.
“Saya sudah jadi Perdana Menteri. Apa saya nak dendam lagi? Saya baru balik dari Timor Leste, disambut sebagai sahabat. Tapi yang penting sekarang, kena jaga negara ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu-isu asas di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan pembangunan infrastruktur.
“Saya anak Pulau Pinang, bukan anak Sabah. Tapi peruntukan untuk Sabah sekarang ini yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.
“Tapi kita tahu, masih belum selesai masalah dan masih dalam proses,” katanya.







