
PUTRAJAYA – Polemik calon Perdana Menteri dalam kalangan pembangkang timbul apabila Pas semakin hilang kepercayaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kegagalan bekas Perdana Menteri itu membantu koalisi terbabit kembali berkuasa di Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, keretakan itu berlaku apabila Bersatu yang mendakwa partinya pembawa perubahan, kini berhadapan dengan kemelut dalaman yang serius, selain ketiadaan dasar jelas menyebabkan Bersatu kehilangan arah.
Menurutnya, Bersatu juga semakin berpecah berikutan pertembungan kem Setiausaha Agung parti itu yang baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa kempen pemilihan parti terbabit baru-baru ini.
“Keadaan itu, menjadi semakin buruk apabila Bersatu gagal mempertahankan beberapa kerusi pilihan raya yang sebelum ini dikuasai oleh PN seperti kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota.
“Walaupun Bersatu cuba mengaut keuntungan dari kerjasama dengan UMNO sebelum PRU15 dan Pas dalam PN, mereka masih gagal untuk menunjukkan kestabilan dalam koalisi politik mereka sehingga kini. Sebaliknya, Pas lebih konsisten dan terurus, memiliki sokongan padu daripada pengundi di kawasan tradisional mereka, serta mempunyai dasar lebih jelas dan disokong oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Terdahulu, The Malaysia Press melaporkan beberapa pemimpin tertinggi Pas meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila Bersatu ‘tanpa segan silu’ mencalonkan Muhyiddin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri PN pada PRU akan datang.
Menurut sumber, tindakan itu melampaui batas dan seharusnya Bersatu cermin diri bahawa pergolakan dalaman melanda parti itu menyebabkan mereka sudah semakin ditolak orang Melayu berbanding kematangan yang diamalkan Pas dilihat lebih ke hadapan, selain mempunyai jentera lebih ‘solid’ dan kukuh.
Sehubungan itu, Nur Ashikin berpandangan, Pas pada saat ini berkemungkinan dilihat lebih layak mengemukakan calon Perdana Menteri untuk PN berbanding Bersatu pada PRU16.
Beliau berkata, pelbagai pihak, khususnya rakyat ketika ini melihat Bersatu sebagai sebuah parti politik yang hanya mementingkan kelangsungan kuasa tanpa benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat berbanding Pas mengutamakan kepada pemberian bantuan segera dan perlindungan kebajikan rakyat.
“Pas dilihat lebih meyakinkan menjadi calon utama Perdana Menteri untuk pembangkang, didorong oleh kekuatan tradisi mereka di pantai timur dan pengurusan kebajikan yang sudah terbukti selain memiliki lebih banyak kerusi Ahli Parlimen berbanding Bersatu.
“Dengan pengalaman yang telah lama dalam memerintah negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, Pas mempunyai asas kukuh yang memberi mereka kelebihan dalam dunia politik negara dan mempunyai kemampuan membawa pembaharuan kepada negara, khususnya pengurusan bencana dan krisis sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, hasrat disuarakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dianggap wajar kerana Pas mempunyai kekuatan jentera lebih besar dan kuat berbanding Bersatu, sama ada di peringkat akar umbi, cawangan, bahagian mahu pun negeri.
“Pas sebelum ini menanggap satu-satunya individu paling layak diangkat menjadi calon Perdana Menteri bagi gabungan pembangkang kerana beliau adalah pemimpin paling dominan dalam Bersatu dan PN namun, Pas kini melihat Bersatu berdepan banyak masalah dalaman parti termasuk kes mahkamah membabitkan Muhyiddin.
“Lantaran itu, langkah Pas yang mahu mengangkat Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ‘poster boy’ Perdana Menteri PN untuk kempen PRU16 nanti adalah satu langkah serta tindakan tepat kerana beliau mempunyai ciri pemimpin nasional, berpendidikan tinggi dan berimej bersih,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri mewakili PN pada PRU akan datang.
Bagaimanapun, Hashim dalam satu kenyataan menegaskan, Pas lebih layak memimpin PN, sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu.
Walaupun Muhyiddin menyatakan Pas berhak menuntut jawatan Perdana Menteri namun beliau bersikap ‘ada udang di balik batu’ yang menyatakan keputusan itu akan dimuktamadkan menerusi perbincangan pemimpin tertinggi PN.




