“TIADA rancangan untuk mengenakan cukai langganan ke atas ChatGPT,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, tiada perbincangan dibuat mengenai sebarang cadangan untuk mengenakan cukai sedemikian, sama ada di dalam Kabinet atau di Parlimen.
Sebarang bentuk cukai memerlukan kelulusan Parlimen, bukan hanya pada perbincangan peringkat Kabinet.
“Ini tidak disebut dalam ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri.
“Jadi pada pendapat saya, perkara ini tidak patut dilayan,” katanya pada sidang media majlis sambutan Rumah Terbuka Deepavali Madani di sini semalam.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa posting media sosial yang mendakwa cukai langganan ChatGPT akan dikenakan mulai Disember.
Dalam perkara lain, Fahmi mempersoalkan keengganan Meta untuk mengambil tindakan untuk memerangi jenayah dalam talian, termasuk penipuan dan pedofilia.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana isu keselamatan media sosial terutama membabitkan kanak-kanak dan keluarga semakin berleluasa.
“Meta telah meminta lebih banyak masa (untuk membanteras kumpulan sedemikian di akaun media sosial) tetapi secara jujur, kami tidak boleh memberi masa tambahan,” kata Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.
“Kami menerima aduan daripada orang ramai mengenai kewujudan kumpulan pedofil di Facebook yang mencecah puluhan ribu selepas beroperasi selama bertahun-tahun.
“Jadi, mengapa Meta mempertahankan kumpulan penipuan dan pedofil ini?” katanya
Fahmi berkata Meta telah diarahkan untuk meneruskan inisiatif pelesenan media sosial, kerana ia bertujuan untuk meningkatkan pengawasan dan akauntabiliti dalam mengurus kandungan dalam talian yang berbahaya.
“Teruskan sahaja,” tambahnya.
Fahmi juga menafikan dakwaan bahawa perbincangan tidak berlaku, mengatakan bahawa mesyuarat telah diadakan sejak awal tahun ini, termasuk semasa lawatannya ke Singapura untuk perbincangan dengan wakil Meta di sana.




