
IPOH – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, pada Isnin, atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, hadir ke mahkamah dengan bergari dan memakai baju-T belang lengan panjang serta seluar hitam.
Pertuduhan dibacakan jurubahasa namun tiada pengakuan direkodkan, sebaliknya tertuduh hanya mengangguk tanda faham.
Hakim, Mohd Harith Mohd Mazlan, membenarkan Nurhaswani menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan terhadap Sultan Nazrin di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan.
Nasrul Hadi memohon mahkamah agar tiada pengakuan diambil daripada tertuduh kerana hasil siasatan awal mendapati wanita itu menghidap penyakit skizofrenia.
Beliau turut meminta agar tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut dan pemantauan mengikut Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi menilai tahap kewarasan ketika kejadian.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh bertindak nekad naik ke pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika Lagu Kebesaran Negeri Perak dimainkan pada sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh.
Suspek turut mempunyai rekod lampau kes dadah serta sejarah rawatan psikiatri.






