
Kota Samarahan – Dalam satu operasi sempadan yang dijalankan bersama oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD), percubaan penyeludupan barang berjaya digagalkan di Pos GABMA Ba’kelalan.
Operasi ini dijalankan di bawah Formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia melibatkan rondaan jarak dekat di kawasan berhampiran Kampung Punang Kelalan kira-kira 1.3 km dari sempadan Malaysia-Indonesia.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Markas 1 Divisyen, anggota TDM dan TNI-AD menemui sejumlah barangan yang mencurigakan di lokasi tersebut pada 10 pagi.
Antara barangan yang dirampas ialah 27 botol minuman keras, 50 bungkus gandum, 30 bungkus minyak masak, 41 bungkus gula, dan dua kampit beras. Kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM 1,108.50.
Setakat ini, tiada barangan terlarang atau berbahaya dijumpai dan laporan polis dibuat di balai polis berhampiran.
Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut.



