
PKR hari ini mengumumkan pelantikan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebagai anggota Ex Officio Biro Politik parti itu susulan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam mesyuarat bulanannya.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, menerusi satu kenyataan hari ini.
Selain Tengku Zafrul, PKR turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Kesihatan; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir; Menteri Belia dan Sukan; Dr Mohammed Taufiq Johari serta Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohamad Datuk Dr Abdul Hamid, sebagai anggota Ex Officio.
Dalam perkembangan sama, PKR turut melantik Datuk Yamani Hafez Musa ke MPP sebagai anggota Ex Officio, selain Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Kongres Nasional PKR akan diadakan di Melaka dari 25 hingga 28 Jun ini.
“Maklumat terperinci akan dikeluarkan Ibu Pejabat PKR dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, MPP turut meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan MADANI termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang merupakan usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan yang lebih baik serta mempersiapkan generasi muda menghadapi dunia digital yang semakin mencabar.
Beliau berkata, program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan lebih tuntas.
“Langkah-langkah membanteras rasuah dan kumpulan kartel turut disokong, agar dana rakyat tidak diseleweng untuk memperkaya kelompok tertentu,” katanya.





