
KINABATANGAN – Semangat demokrasi rakyat jelas terserlah apabila pasangan pesara sanggup menempuh perjalanan sejauh 240 kilometer semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian.
Reduan Kelau Abdullah bersama isteri, Masturah Syed Hassan, 60-an, bergerak dari kediaman mereka di Sandakan seawal 7 pagi sebelum singgah di Kinabatangan dan meneruskan perjalanan ke Tongod.
Reduan berkata, isterinya menunaikan tanggungjawab itu bagi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan di SK Bukit Garam II manakala dia hanya akan memilih bakal wakil rakyat Parlimen.
“Isteri mengundi di Lamag ini tapi saya mengundi DUN Kuamut. Selepas isteri selesai membuang undi, kami gerak ke SK Pekan Tongod untuk giliran saya pula memilih calon Parlimen Kinabatangan,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press, di SK Bukit Garam II, pada Sabtu.
Menurut Reduan, perjalanan jauh itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya menjadi bukti komitmen tinggi terhadap hak dan kewajipan sebagai warganegara.
“Rakyat mesti bertanggungjawab dan kuatkan hati, walaupun jauh macam saya, kita kena mengundi juga.
“Selepas kami rakyat ni memilih, kami berharap wakil rakyat Juga tengah malam ini selepas diumum menang terus tunaikan tanggungjawab mereka juga, “katanya.

Sementara itu, Farid Jalpah, 37, seorang penjawat awam yang telah menunaikan undi juga berharap agar ‘Yang Berhormat’ dapat memastikan kebajikan rakyat Lamag dan Kinabatangan terjaga.
“Ini juga termasuklah keperluan serta infrastuktur asas iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Walaupun baharu sahaja menunaikan tanggungjawab sebulan yang lalu (PRN17 Sabah), kali ini, sekali lagi dan walaupun tidak mengubah landskap Sabah secara keseluruhan, tanggungjawab itu mesti ditunaikan,” kongsinya.
Shahnizam Salarah, 34, dari Kg Berjaya I yang selesai membuang undi turut senada dan menyeru agar pengundi berdaftar di Kuamut dan Kinabatangan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat untuk menentukan masa depan kawasan dan kepimpinan yang dipilih.
Seramai 48,282 orang pengundi biasa layak mengundi dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Lamag di 36 Pusat Mengundi dan 117 saluran.




