KUANTAN – Kerajaan Pahang memilih Temerloh sebagai lokasi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) peringkat negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan Temerloh itu dibuat memandangkan daerah terbabit adalah ‘titik tengah’ dan memudahkan peserta serta pengunjung hadir memeriahkan program itu.
“Untuk program Mini MAHA Pahang 2025, kita dah putuskan memilih Dataran Temerloh (sebagai lokasi) dan ia akan berlangsung pada 14 hingga 17 Ogos depan.
“Mini MAHA Pahang ini mendapat kerjasama daripada agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Program ini sudah tentu menjadi platform strategik bagi mengetengahkan sektor agromakanan di Pahang, termasuk teknologi terkini dalam pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya kepada media selepas satu program di Kampung Mahkota, di sini, hari ini.
Wan Rosdy turut memaklumkan tema program Mini MAHA Pahang 2025 adalah ‘Agro Gemilang Negeri Terbilang’.
Ditanya sama ada Mini MAHA Pahang itu akan dijadikan program tahunan, beliau memaklumkan perkara itu akan diputuskan kemudian.
“Kalau MAHA peringkat Kebangsaan diadakan tahun itu, maka kita mungkin tidak buatlah (Mini MAHA).
“Untuk Mini MAHA tahun ini, Kerajaan Negeri akan melancarkan dan mengadakan jualan ‘Beras Pahang’ untuk pengunjung,” katanya.





