
SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 bagi Tahun 2025 boleh dilakukan secara dalam talian mulai esok melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau di sekolah asal pelajar masing-masing.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelajar yang tidak menerima tawaran boleh mengemukakan rayuan mulai 19 hingga 25 Mei ini. Keputusan rayuan pula boleh disemak menerusi kaedah yang sama pada 3 Jun.
“Mulai 2025, KPM juga akan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam melalui kerjasama silang bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Program ini akan dilaksanakan secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Dua bidang pengajian ditawarkan iaitu sains dan sains sosial,” kata kenyataan itu.
KPM berkata, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 yang berjaya menerima tawaran ke Tingkatan Enam dan memenuhi syarat kelayakan boleh memohon kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam mulai 19 hingga 25 Mei ini.
“Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/,” menurut KPM.
KPM memaklumkan semua pelajar yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun.



