
PUTRAJAYA – Dasar tarif baharu yang diperkenalkan Presiden Donald Trump terhadap Kanada, Mexico dan China merupakan ancaman terbesar untuk negara membendung inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, perang perdagangan global dengan tarif ala balas dendam bakal membawa kesan buruk yang sama terhadap peningkatan inflasi dan terbantutnya pertumbuhan ekonomi seperti sewaktu pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia harus bersama-sama menentang tarif melampau oleh Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang membahayakan pertumbuhan ekonomi mampan dan bakal meningkatkan inflasi yang melambung tinggi di seluruh dunia.
“Atas sebab ini, masyarakat global mesti bersatu untuk melawan tarif Trump. Walaupun tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico serta tambahan 10 peratus ke atas tarif sedia ada yang telah dikenakan ke atas China dilihat secara tidak langsung menjejaskan Malaysia.
“China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, lantas sebarang kesan negatif terhadap ekonomi China tentu sekali akan memberi kesan buruk kepada Malaysia. Negara itu membekalkan bahan dan komponen yang diperlukan dengan cara yang paling cekap dan kos efektif untuk hab elektronik di Malaysia.
“Sebarang peningkatan kos pastinya akan mengganggu rantaian bekalan dan bakal menyebabkan pengurangan pengeluaran. Selain itu, untuk hab elektronik penting seperti Malaysia, rantaian bekalan menjangkau sehingga Mexico dan Kanada kerana jarak yang berdekatan dengan Amerika Syarikat, dan merupakan destinasi akhir kebanyakan eksport negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng menjelaskan, mengurangkan kos perniagaan adalah perlu sebagai pelindungan terhadap inflasi dan mengekalkan perkembangan ekonomi berdaya mampan selain melaksanakan pelarasan kewangan serta cukai berkaitan yang dapat mengurangkan kos perniagaan boleh digunakan oleh pihak kerajaan, khususnya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Keperluan menaikkan nilai ambang pendapatan bercukai untuk kadar cukai 15 peratus daripada kadar semasa RM150,000 kepada RM300,000 dan meningkatkan nilai ambang pendapatan bercukai seterusnya untuk kadar cukai 17 peratus daripada RM600,000 kepada RM700,000.
“Ini sekali gus membolehkan PKS menikmati penjimatan cukai tahunan sebanyak RM10,000 selain meningkatkan nilai ambang e-invois yang akan dilaksanakan pada Julai 2025 daripada hasil tahunan RM 150,000 kepada RM 500,000, sekaligus tidak melibatkan perniagaan kecil,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berpandangan terdapat keperluan juga Malaysia mewajibkan hanya pekerja asing untuk membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 hendaklah dihadkan kepada syarikat tersenarai awam dan bukan syarikat swasta.
“Pada masa sama, menangguhkan pelaksanaan cukai mewah untuk menggalakkan pelancongan selain menangguhkan penyasaran subsidi petrol RON95 dan tidak mengapungkan bahan api itu kepada harga pasaran, yang dijangka bakal menyebabkan inflasi serta peningkatan kos pengangkutan,” katanya.
Terdahulu, Trump mahu melaksanakan tarif pada Sabtu lalu ke atas tiga rakan dagang terbesar AS iaitu Kanada, Mexico dan China, sambil menyatakan bahawa tiada apa yang boleh menghalangnya, malah berjanji untuk mengenakan lebih banyak levi ke atas pelbagai industri.
Trump sudah mengulangi rancangannya untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari negara jiran Kanada dan Mexico, dengan alasan bahawa kedua-dua negara gagal menangani masalah pendatang haram yang menyeberang ke sempadan AS serta kemasukan dadah fentanyl secara haram.
Bagaimanapun, Trump semalam mengumumkan penangguhan tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara pada Isnin – hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.
Presiden baharu Amerika Syarikat itu memaklumkan beliau akan mengadakan berbincang dengan China tidak lama lagi, berhubung tarif terbabit.