
MALAYSIA kekal tidak menggadaikan prinsip berkaitan isu standard halal ketika rundingan tarif timbal balas dengan Amerika Syarikat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan menepis dakwaan bahawa kononnya Malaysia telah berkompromi dalam isu ini ketika rundingan tarif berkenaan.
Tegasnya, dakwaan kerajaan berbuat demikian untuk memenuhi permintaan AS adalah tidak benar sama sekali. Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu halal, malah semua produk AS yang mahu masuk ke dalam negara masih perlu mematuhi standard halal yang ditetapkan JAKIM.
“Adakah kita ‘red line’ kita iaitu standard halal kita telah disentuh? Jawapannya Alhamdulillah tidak. Kita berpegang teguh kepada prinsip dan kejayaan ini membuktikan kitab oleh mencapai matlamat ekonomi tanpa menggadaikan prinsip kita,” katanya dalam hantaran klip video di Facebook, hari ini.
Apa yang sudah dipersetujui menurut Tengku Zafrul, hanyalah untuk memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia dikendalikan oleh Agensi Peraturan Halal AS.
“Namun begitu, semua produk yang diimport masih perlu mematuhi piawaian halal Malaysia yang ditetapkan oleh JAKIM.
“Sekiranya tidak memenuhi standard JAKIM, produk berkenaan tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya.
Semalam, akhbar bahasa Inggeris melaporkan yang Malaysia bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk, termasuk farmaseutikal, yang berkemungkinan akan menghapuskan keperluan produk AS untuk mendapatkan pengesahan halal daripada JAKIM.
Ia juga menyatakan yang Malaysia bersedia untuk membekalkan unsur nadir bumi kepada AS dengan memanfaatkan simpanannya yang melebihi 16 juta tan bernilai dianggarkan RM1 trilion.
Bagaimanapun Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan tidak akan sama sekali mengalah dalam isu halal atau apa-apa yang boleh menjejaskan dasar halal negara.





