
ISU kenaikan tarif air di Terengganu kembali mencuri perhatian apabila caj yang dikenakan terhadap pengguna didakwa melonjak lebih 134 peratus sejak pentadbiran kerajaan negeri diambil alih oleh Pas.
Dakwaan ini dibuat oleh kumpulan Rakyat Minta Resign melalui kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp.
Mengikut rekod yang dikongsi, pada era pentadbiran terdahulu (UMNO), kadar bil 40 meter padu hanya sekitar RM38 sebulan. Namun selepas 2022, angka itu mula berubah. Tarif naik kepada RM42 pada 2022, meningkat lagi kepada RM45.20 pada 2024 dan melonjak mendadak ke RM88.60 bermula Ogos 2025.
Beban ke atas peniaga kecil
Kumpulan Rakyat Minta Resign juga meluahkan kebimbangan mereka terhadap nasib golongan peniaga kecil seperti pengusaha warung, kedai makan, homestay, pasar malam bahkan pengendali mesin air yang turut dikenakan kadar sama seperti kilang besar.
Walaupun kerajaan negeri mendakwa memberikan subsidi 30 peratus, jumlah bayaran masih jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran sebelum ini kata kenyataan itu lagi
Gagal urus keperluan asas
Situasi ini mencerminkan kegagalan Syarikat Air Terengganu (SATU) dan kerajaan negeri menguruskan salah satu keperluan asas rakyat dengan baik. Air sepatutnya dilihat sebagai hak asasi, bukannya beban tambahan kepada rakyat.
Kenaikan tarif secara berterusan ini dilihat bercanggah dengan janji pentadbiran negeri untuk membela rakyat marhaen. Sebaliknya, rakyat kini terpaksa berdepan kos sara hidup lebih tinggi di tengah-tengah kelembapan ekonomi semasa.
Rakyat mahukan perubahan
Desakan agar kerajaan negeri mengambil langkah drastik semakin kuat. Ada suara menuntut pentadbiran sedia ada bertanggungjawab dengan segera atau berundur sekiranya gagal menyelesaikan isu yang membelenggu kehidupan harian rakyat ini. rakyat menanti penjelasan konkrit daripada kerajaan Pas Terengganu.