IPOH – Seorang lelaki berusia 41 tahun cedera selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah premis di Chemor, di sini, pada Jumaat malam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.17 malam.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati tangan mangsa masih tersepit dalam mesin berkenaan namun mangsa berada dalam keadaan sedar.
“Ketua operasi kemudiannya meminta bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberikan bius kerana mangsa menanggung kesakitan ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shazlean menjelaskan, operasi penyelamatan dilaksanakan menggunakan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap).
“Anggota bertindak membuka skru bagi mengasingkan bahagian asas mesin sebelum memutar gear pengisar ke arah berlawanan.
“Tindakan itu berjaya mengeluarkan tangan kanan mangsa sepenuhnya.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan KKM yang berada di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, operasi penyelamatan dikawal sepenuhnya sekitar jam 9.40 malam dan tamat kira-kira 10 minit kemudian.




