
KOTA KINABALU – Pengaktifan talian penyambungan elektrik 275 Kilovolt (kV) antara Sarawak dan Sabah yang berjaya dilaksanakan pada 13 Disember 2025 menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh keselamatan dan daya tahan bekalan elektrik di Borneo.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek strategik berkenaan berjaya meningkatkan daya tahan sistem tenaga serta mengukuhkan kerjasama antara negeri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di Sarawak dan Sabah.
“Bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai dikenal pasti sebagai tunjang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial, termasuk menggerakkan industri serta menyokong perkhidmatan awam dan memastikan kelangsungan kehidupan harian rakyat.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui khususnya hidro yang mampu untuk berkongsi tenaga dengan Sabah bagi memenuhi keperluan bekalan serta menyokong peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan rendah karbon.
“Penyambungan ini juga membolehkan aliran elektrik dapat bergerak dengan lebih cekap merentasi sempadan negeri dan membolehkan fleksibiliti operasi antara dua sistem tenaga serta memastikan bekalan tersedia di lokasi dan masa yang paling diperlukan.
“Langkah itu meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan mengukuhkan keselamatan tenaga, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur dan jaminan kepada industri untuk berkembang serta kepastian kepada komuniti terhadap kestabilan bekalan elektrik,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Energization of Sarawak-Sabah Power Grid Interconnection Project di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.
Tambah Abang Johari, penyambungan elektrik Sarawak-Sabah turut menjadi asas penting kepada pembangunan Grid Borneo yang saling berhubung, sekali gus menyokong perancangan sistem yang lebih cekap dan pengurusan permintaan tenaga yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek ini juga menyumbang kepada usaha merealisasikan Grid Kuasa ASEAN, dengan Sarawak dan Sabah muncul sebagai penyumbang utama kepada masa depan tenaga mampan serantau.
“Kerajaan Sarawak menyatakan komitmen untuk terus melabur dalam infrastruktur tenaga berdaya tahan serta mempercepatkan peralihan tenaga bagi memastikan bekalan elektrik kekal mampu milik, boleh dipercayai dan mudah diakses.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan infrastruktur, malah simbol kerjasama strategik yang membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak, Sabah dan Borneo secara keseluruhan,” jelasnya.






